Saturday, June 26, 2010

Menyingkap rahsia wanita...


Terbaru dari Tinta Balqis, SYHHH...MENYINGKAP RAHSIA WANITA kini sudah berada di pasaran. Pelbagai firasat berkaitan wanita sama ada dari segi kelahiran, gaya hidup, personaliti, peribadi terkandung dalam buku ini.
Bukan untuk mempercayai namun sekadar firasat untuk mengenali kepribadian wanita tersebut.
Terdapat pelbagai cara yang boleh dibaca mengenai personaliti seseorang wanita. Sama ada dari gaya tidur, makan, penggunaan barangan termasuk rupa fizikal seperti rambut, hidung, mata dan sebagainya mempunyai firasat tersendiri.
Buku ini sudah berada di pasaran dan boleh anda miliki hanya dengan RM4.90 sahaja.

Monday, June 14, 2010

Rias & Gaya - Jun 2010!



RIAS & GAYA - Terbaru dari Tinta Balqis...
Khas untuk wanita, buku ini mengandungi pelbagai tip dan panduan ringkas yang mudah difahami berkaitan dengan tata rias dan penggayaan bagi menampilkan personaliti yang menarik dan sesuai dengan bentuk tubuh serta wajah anda.Contohnya, apa yang perlu dititikberatkan dalam berpakaian bagi mereka yang bertubuh besar atau berperut buncit? Bagaimana mahu menyamarkan pinggul yang lebar? Apakah teknik solekan yang sesuai mengikut bentuk wajah seperti wajah bulat, lonjong dan persegi? Apakah tip pemilihan warna yang sesuai untuk mereka yang berkulit gelap? Bagaimana menyamarkan kulit yang bermasalah semasa mengenakan solekan? Dan bermacam info lagi terkandung dalam buku ini. RIAS & GAYA telah berasa di pasaran sejak pertengahan Jun lalu. Hanya RM6.9 untuk pelbagai tip dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Monday, June 7, 2010

hati seorang isteri...


Bagaimana rasanya apabila kepercayaan yang selama ini diberi kepada si dia akhirnya terkikis jua kerana sikapnya yang sentiasa membawa duka. Kata orang, hati seorang isteri atau hati seorang wanita itu amat kental, kebal berdepan dengan pelbagai onar walaupun ia acapkali melukai hatinya. Mungkin inilah keistimewaan hati wanita. Tetapi siapa tahu, pada wajah yang tampak ketabahan dan kesabaran itu, namun sebenarnya jauh di sudut hatinya, dia menangis, meratapi kelukaan, kesedihan dan kekecewaan yang terpaksa dilaluinya.
Para isteri hari ini, terlalu ramai yang dilukai hatinya tanpa sedar, tanpa sengaja atau mungkin sengaja dilakukan. Namun, demi mempertahankan rumahtangga, atau mungkin lebih penting demi anak-anak tercinta, semua itu dipendam saja. Duka, lara, kepedihan yang menusuk sanubari terpaksa disimpan kemas jauh di sudut hati agar ia tidak tampak pada zahirnya. Sedangkan si suami, tanpa segan, tanpa peduli, tanpa endah, terus-terusan membuat hati si isteri menangis dan menangis.
Bila timbul sengketa dan yang teraniaya adalah isteri, ucapan yang selalu kedengaran adalah 'bersabarlah'. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar. Tetapi, bukan semua para isteri itu mempunyai tahap kesabaran yang setebal gunung, seluas angkasa.
Si isteri sentiasa memberi peluang kepada lelaki yang dicintainya untuk berubah, terus berdoa agar Tuhan memberi hidayah pada lelaki itu agar berubah menjadi pemimpin untuk isteri dan anak-anaknya. Namun, bilakah agaknya doa itu akan menjadi kenyataan?....
Bilakah sang suami akan mendapat hidayah itu? Atau mungkin akan terus leka dalam kekufuran?.... Dan yang akan terus menangis, hati si isteri jua....