Monday, June 7, 2010

hati seorang isteri...


Bagaimana rasanya apabila kepercayaan yang selama ini diberi kepada si dia akhirnya terkikis jua kerana sikapnya yang sentiasa membawa duka. Kata orang, hati seorang isteri atau hati seorang wanita itu amat kental, kebal berdepan dengan pelbagai onar walaupun ia acapkali melukai hatinya. Mungkin inilah keistimewaan hati wanita. Tetapi siapa tahu, pada wajah yang tampak ketabahan dan kesabaran itu, namun sebenarnya jauh di sudut hatinya, dia menangis, meratapi kelukaan, kesedihan dan kekecewaan yang terpaksa dilaluinya.
Para isteri hari ini, terlalu ramai yang dilukai hatinya tanpa sedar, tanpa sengaja atau mungkin sengaja dilakukan. Namun, demi mempertahankan rumahtangga, atau mungkin lebih penting demi anak-anak tercinta, semua itu dipendam saja. Duka, lara, kepedihan yang menusuk sanubari terpaksa disimpan kemas jauh di sudut hati agar ia tidak tampak pada zahirnya. Sedangkan si suami, tanpa segan, tanpa peduli, tanpa endah, terus-terusan membuat hati si isteri menangis dan menangis.
Bila timbul sengketa dan yang teraniaya adalah isteri, ucapan yang selalu kedengaran adalah 'bersabarlah'. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar. Tetapi, bukan semua para isteri itu mempunyai tahap kesabaran yang setebal gunung, seluas angkasa.
Si isteri sentiasa memberi peluang kepada lelaki yang dicintainya untuk berubah, terus berdoa agar Tuhan memberi hidayah pada lelaki itu agar berubah menjadi pemimpin untuk isteri dan anak-anaknya. Namun, bilakah agaknya doa itu akan menjadi kenyataan?....
Bilakah sang suami akan mendapat hidayah itu? Atau mungkin akan terus leka dalam kekufuran?.... Dan yang akan terus menangis, hati si isteri jua....

No comments: