Sunday, March 28, 2010

MEMORI KUKUR KELAPA


Semasa berjalan-jalan ke Taman Mini Malaysia di Melaka tempoh hari, aku terlihat barangan lama ini di dalam salah sebuah rumah replika di sana. Apa dia? Inilah 'KUKUR KELAPA'. Tidak tahulah jika ada nama panggilan lain namun itulah nama yang diperkenalkan oleh ibuku sendiri sejak aku kecil dahulu. Melihat kukur kelapa ini mengimbau pelbagai nostalgia dalam kotak memoriku ini. Zaman kanak-kanakku dahulu (sekitar tahun 80-an), kebanyakan rumah pasti ada kukur kelapa ini termasuklah di rumahku sendiri. Tetapi kini, rasanya hendak mencari rumah yang masih menggunakan perlatan lama ini untuk memarut kelapa sudah pasti sukar. Ada lagikah orang yang mahu menggunakan cara manual di zaman yang serba canggih di mana segala peralatan rumah hanya memerlukan satu jari untuk memetik suisnya? Aku masih ingat dulu, semasa kecil, aku sering memerhatikan ibuku memarut kelapa. Setiap hari, selepas pulang dari kerja (ibu bekerja di sebuah kilang ketika itu), ibu akan mula menyiapkan bahan-bahan masakan. Ibu akan mengambil kelapa tua yang banyak gugur di hadapan rumah (selalunya ayah awal2 sudah mengopek kulit kelapa tersebut). Kelapa itu dibelah dan dibiarkan seketika agar airnya benar-benar kering. Kemudian, ibu akan duduk di atas badan kukur tersebut lalu mula mengukur kelapa. Hampir setiap hari begitulah rutin ibu kerana selalunya ibu memastikan pasti ada salah satu lauk gulai (masakan yang menggunakan santan) untuk hidangan makan malam. Kasihan juga kadangkala melihat ibu mengukur kelapa setiap hari. Pernah juga aku cuba2 untuk melakukannya, tapi ibu cepat-cepat memarahiku, takut tangan terluka katanya. Kadangkala jikalau terlalu keletihan, ibu akan menyuruhku membawa kelapa ke kedai untuk dikukur (ketika itu kedai sudah menggunakan pengukur elektrik)... kenalah bayar 50 sen untuk upah mengukur. Melihat kukur kelapa ini, aku terkenang ketabahan ibu mengukur kelapa hampir setiap hari dahulu. Betapa tabahnya seorang ibu dalam apa perkara demi menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Tertanya-tanya juga, ke mana agaknya alat pengukur kelapa di rumahku dahulu? Aku tanyakan kepada ibu, ibu sendiri tertawa mendengar soalanku itu. Kata ibu, sejak berpindah dan rumah ketika itu sering dinaiki air apabila hujan lebat, pengukur itu akhirnya tidak lagi digunakan dan dibuang sahaja (kerana mata besinya sudah berkarat). Dalam hati aku berkata, jika masih ada lagi, sudah tentu kukur kelapa itu akan ku simpan menjadi salah satu alat yang tinggi nilai memorinya. Entahkan anak cucu kita di masa akan datang akan masih mengenali peralatan lama ini atau ia terus tenggelam dalam lipatan sejarah.

Saturday, March 13, 2010

syukur atas nikmatNya...


Cuti sekolah datang lagi....
Ia adalah cuti penggal pertama untuk sesi persekolahan 2010. Bukan tentang cuti sekolah yang ingin aku ceritakan di sini. Tapi, tentang perasaan gembira bila dapat menghabiskan masa bersama keluarga tersayang.
Sebenarnya, memang aku telah merancang untuk membawa anak-anakku (FARZANA BALQIS & DANIA QAIREENA) untuk pergi bercuti kali ini. Bukanlah percutian yang hebat atau termahal pun. Sekadar pergi membawa mereka berjalan-jalan dalam negara kita yang indah ini.
Hmm... aku terharu, sedih pun ada juga. Kali ini, aku dapat membawa anak-anakku pergi berjalan dengan wang hasil titik peluhku. Syahdu rasanya. Bukan apa, teringat kesusahan yang aku lalui sejak dua tahun lalu, malah sebelum mengandungkan Dania lagi.
Masa tu, roda kehidupanku berada di bawah, sedang diuji oleh yang Maha Esa. Teringat semasa sedang membawa Dania di dalam perut, segala keperitan aku tanggung sendiri. Hampir setiap hari makan nasi berlauk telur dan kicap. Kadangkala risau juga memikirkan menu tersebut mungkin tidak membekalkan nutrien yang sihat untuk kehamilanku. Tapi aku diamkan saja kerana hanya itu yang termampu.
Alhamdulillah, berkat doaku yang tidak putus asa demi kesejahteraan anak-anakku, sedikit demi sedikit kepayahan yang ku lalui mulai diterangi oleh sinar harapan. Pengorbananku tidak sia-sia, hasilnya kini mula kelihatan. Malah lebih manis lagi, aku dapat melihat anak-anak membesar di depan mata.
Masih terlalu jauh sebenarnya perjalanan ini, titian yang aku lalui masih goyang dan belum cukup utuh. Tetapi sekurang-kurangnya aku boleh menarik sedikit nafas lega kerana masih mampu meneruskan kehidupan untuk permata hatiku.
Setelah bersusah payah selama ini, kali ini aku ingin membawa anakku bergembira, memberi sedikit keriangan untuk mereka rasai. Dan untuk itu juga, aku tidak pernah putus berdoa padaNya agar dimurahkan rezeki demi untuk kebahagiaan anak-anakku. Sesungguhnya, merekalah harta yang amat berharga dan tiada nilai bandingannya. Aku bersyukur atas nikmatMu ya Allah....

Monday, March 8, 2010

ANEKA CITARASA


LAGI yang terbaru dari Tinta Balqis. Buku ANEKA CITARASA baru jer siap dan sudah mula dipasarkan minggu lepas. Hmm... lama juga nak menunggu buku ni siap. Maklumlah, dengan cuti raya Cina, terperap agak lama juga di kilang pencetak. Tapi kini sudah siap.
ANEKA CITARASA menghimpunkan pelbagai resepi lauk pauk. Kebanyakan resepi dalam ini mudah dan ringkas. Untuk anda yang baru nak belajar2 masuk ke dapur tu, tentu boleh ikut resepi dalam ni.
Ada bermacam resepi dalam ni mengikut kategori seperti ayam, daging, ikan, makanan laut, sayur dan banyak lagi. Antaranya seperti ayam masak kicap, ayam masak merah, kurma ayam, gulai daging salai, kari daging, rendang, asam pedas, ikan tiga rasa, gulai tempoyak, singgang, gulai udang, udang masak petai, paprik sotong, ketam goreng, gulai siput, gulai rebung, masak lemak pisang muda dan banyak lagi la. Tak tersebt satu persatu di sini.
Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah dapatkan ANEKA CITARASA di pasaran ya.
Mudah, senang dan mesti jadi!

Monday, March 1, 2010

Aduhai Syafiah Humairah...


Beberapa hari ini, kita dikejutkan dengan kisah menyayat hati yang menimpa Syafiah Humairah. Gadis kecil yang hanya berusia tiga tahun ini mati kerana manusia yang hilang kewarasan dan pertimbangan hingga sanggup memukul tubuh kecil itu hingga tidak bernyawa.
Menitis air mata apabila membaca tragedi yang menimpa anak comel ini. Sekali lagi air mata bergenangan tatkala menonton jenazah Syafiah di kaca TV. Jika ikutkan hati, mahu saja lelaki yang melakukan perbuatan kejam itu disiat-siat tubuhnya lalu dicampak ke dalam sungai. Sungguh, haiwan pun tidak sekejam itu! Manusia apakah ini? Lebih keji dari binatang!
Seakan terbayang penderitaan Syafiah tatkala dipijak dan disepak bertalu-talu. Tubuhnya terlalu sakit hingga lemah tidak bermaya dan akhirnya terkulai layu. Rayuannya agar tidak dipukul tidak diendahkan. Daripada bersuara hingga akhirnya Syafiah tidak mampu mengeluarkan suara, tubuhnya terus menerima habuan daripada binatang itu.
Syafiah mati kerana tindakan kejam lelaki tidak berguna itu. Namun dari sudut lain, kematiannya membongkar segala rahsia yang cuba disembunyikan. Rupa-rupanya lelaki itu dan ibu Syafiah sudah bertahun-tahun bersekedudukan, lupa akan halal dan haram. Mungkin dengan tragedi yang menimpa Syafiah ini barulah segalanya terbongkar. Jika tidak, sudah tentu pasangan itu masih terus hidup dengan cara menghalalkan apa saja yang mereka mahu walaupun jelas salah di sisi agama.
Menatap wajah kanak-kanak seusia Syafiah, kesedihan masih terasa mengenangkan nasib yang menimpa gadis kecil ini. Semoga apa yang menimpa Syafiah menjadikan kita lebih berhati-hati dari masa ke semasa. Entah apa nak jadi dengan manusia sekarang, bayi dibuang merata-rata, kanak-kanak pula dibunuh begitu saja. Semuanya tanpa rasa belas kasihan. Nampaknya sudah ramai yang hilang kewarasan akal fikiran hari ini. Perkara beginilah yang perlu kita beri perhatian.
Semoga kes Syafiah membuka mata kita semua. Buat Syafiah, amanlah di sana setelah melalui penderitaan di dunia ini. Al-Fatihah untuk Syafiah.....