Monday, March 1, 2010
Aduhai Syafiah Humairah...
Beberapa hari ini, kita dikejutkan dengan kisah menyayat hati yang menimpa Syafiah Humairah. Gadis kecil yang hanya berusia tiga tahun ini mati kerana manusia yang hilang kewarasan dan pertimbangan hingga sanggup memukul tubuh kecil itu hingga tidak bernyawa.
Menitis air mata apabila membaca tragedi yang menimpa anak comel ini. Sekali lagi air mata bergenangan tatkala menonton jenazah Syafiah di kaca TV. Jika ikutkan hati, mahu saja lelaki yang melakukan perbuatan kejam itu disiat-siat tubuhnya lalu dicampak ke dalam sungai. Sungguh, haiwan pun tidak sekejam itu! Manusia apakah ini? Lebih keji dari binatang!
Seakan terbayang penderitaan Syafiah tatkala dipijak dan disepak bertalu-talu. Tubuhnya terlalu sakit hingga lemah tidak bermaya dan akhirnya terkulai layu. Rayuannya agar tidak dipukul tidak diendahkan. Daripada bersuara hingga akhirnya Syafiah tidak mampu mengeluarkan suara, tubuhnya terus menerima habuan daripada binatang itu.
Syafiah mati kerana tindakan kejam lelaki tidak berguna itu. Namun dari sudut lain, kematiannya membongkar segala rahsia yang cuba disembunyikan. Rupa-rupanya lelaki itu dan ibu Syafiah sudah bertahun-tahun bersekedudukan, lupa akan halal dan haram. Mungkin dengan tragedi yang menimpa Syafiah ini barulah segalanya terbongkar. Jika tidak, sudah tentu pasangan itu masih terus hidup dengan cara menghalalkan apa saja yang mereka mahu walaupun jelas salah di sisi agama.
Menatap wajah kanak-kanak seusia Syafiah, kesedihan masih terasa mengenangkan nasib yang menimpa gadis kecil ini. Semoga apa yang menimpa Syafiah menjadikan kita lebih berhati-hati dari masa ke semasa. Entah apa nak jadi dengan manusia sekarang, bayi dibuang merata-rata, kanak-kanak pula dibunuh begitu saja. Semuanya tanpa rasa belas kasihan. Nampaknya sudah ramai yang hilang kewarasan akal fikiran hari ini. Perkara beginilah yang perlu kita beri perhatian.
Semoga kes Syafiah membuka mata kita semua. Buat Syafiah, amanlah di sana setelah melalui penderitaan di dunia ini. Al-Fatihah untuk Syafiah.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment