Sunday, March 28, 2010

MEMORI KUKUR KELAPA


Semasa berjalan-jalan ke Taman Mini Malaysia di Melaka tempoh hari, aku terlihat barangan lama ini di dalam salah sebuah rumah replika di sana. Apa dia? Inilah 'KUKUR KELAPA'. Tidak tahulah jika ada nama panggilan lain namun itulah nama yang diperkenalkan oleh ibuku sendiri sejak aku kecil dahulu. Melihat kukur kelapa ini mengimbau pelbagai nostalgia dalam kotak memoriku ini. Zaman kanak-kanakku dahulu (sekitar tahun 80-an), kebanyakan rumah pasti ada kukur kelapa ini termasuklah di rumahku sendiri. Tetapi kini, rasanya hendak mencari rumah yang masih menggunakan perlatan lama ini untuk memarut kelapa sudah pasti sukar. Ada lagikah orang yang mahu menggunakan cara manual di zaman yang serba canggih di mana segala peralatan rumah hanya memerlukan satu jari untuk memetik suisnya? Aku masih ingat dulu, semasa kecil, aku sering memerhatikan ibuku memarut kelapa. Setiap hari, selepas pulang dari kerja (ibu bekerja di sebuah kilang ketika itu), ibu akan mula menyiapkan bahan-bahan masakan. Ibu akan mengambil kelapa tua yang banyak gugur di hadapan rumah (selalunya ayah awal2 sudah mengopek kulit kelapa tersebut). Kelapa itu dibelah dan dibiarkan seketika agar airnya benar-benar kering. Kemudian, ibu akan duduk di atas badan kukur tersebut lalu mula mengukur kelapa. Hampir setiap hari begitulah rutin ibu kerana selalunya ibu memastikan pasti ada salah satu lauk gulai (masakan yang menggunakan santan) untuk hidangan makan malam. Kasihan juga kadangkala melihat ibu mengukur kelapa setiap hari. Pernah juga aku cuba2 untuk melakukannya, tapi ibu cepat-cepat memarahiku, takut tangan terluka katanya. Kadangkala jikalau terlalu keletihan, ibu akan menyuruhku membawa kelapa ke kedai untuk dikukur (ketika itu kedai sudah menggunakan pengukur elektrik)... kenalah bayar 50 sen untuk upah mengukur. Melihat kukur kelapa ini, aku terkenang ketabahan ibu mengukur kelapa hampir setiap hari dahulu. Betapa tabahnya seorang ibu dalam apa perkara demi menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Tertanya-tanya juga, ke mana agaknya alat pengukur kelapa di rumahku dahulu? Aku tanyakan kepada ibu, ibu sendiri tertawa mendengar soalanku itu. Kata ibu, sejak berpindah dan rumah ketika itu sering dinaiki air apabila hujan lebat, pengukur itu akhirnya tidak lagi digunakan dan dibuang sahaja (kerana mata besinya sudah berkarat). Dalam hati aku berkata, jika masih ada lagi, sudah tentu kukur kelapa itu akan ku simpan menjadi salah satu alat yang tinggi nilai memorinya. Entahkan anak cucu kita di masa akan datang akan masih mengenali peralatan lama ini atau ia terus tenggelam dalam lipatan sejarah.

No comments: